Setiap malam aku sukar untuk melelapkan mata. Hati ini terlalu runsing. Aku memejamkan mata namun bayangan kenangan lalu sering menyapa. Lantas aku bangkit kembali menuju ke laptop biru pemberian Abah. Jari jemari runcingku pantas menekan-nekan kibod laptop. Satu persatu gambar kami tertera di skrin itu. Sebelah tanganku menyapu lembut air mata yang tidak berhenti mengalir. Ada keluhan terluah tanpa dapat disekat lagi.
Aku bangkit mengambil Dairi Hijau yang tersusun kemas di atas almari. Ku catatkan lagi perasaan yang berbungkam di hati. Sukar sekali untuk diluahkan melalui kata-kata. Terapi terbaik buatku adalah mencatatkan segalanya di dalam Dairi Hijau.
Dairi Ana Ilyani
Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk melalui semua ini. Lindungilah diriku yang lemah ini dari kekecewaan yang melampau. Setitis demi setitis aku menitiskan air mata yang lahir dari hatiku yang paling dalam. Hilang sudah persolan kenapa yang sering aku tanyakan pada diriku ini... kerana sepanjang aku bertanya tidak kutemui jawapannya. Ana Ilyani .... kuatkanlah dirimu, tabahlah duhai hati untuk menerima segala ini. Percepatkan langkahmu menuju ke depan. Lupakanlah segalanya. Walaupun ianya terlalu sukar. Percayalah pada dirimu. Suatu saat nanti cahaya akan bersinar menerangi hidupmu.
Dairi Hijau itu ditutup. Ana Ilyani melangkah longlai menuju ke arah bilik air untuk mengambil wuduk. Sejadah putih itu dihampar mengadap kiblat. Sesungguhnya, aku berserah padaMu..... Ya Allah, ampuni diriku.....
No comments:
Post a Comment