Sepi itu menjengah ketika aku sedang berseorangan. Kehilangan "dia" yang aku cintai telah meragut seluruh hariku. Awalnya aku kira diri ini amat tabah untuk melalui sebuah kehilangan. Tapi ternyata aku sangat lemah. Yang ku dambakan selama ini hanyalah secebis cinta yang tulus darinya.
Namun, kini aku sedar dia tercipta bukan untukku. Bertahun aku menyintainya, merinduinya dan sebagai balasan yang aku harapkan hanyalah pengkhianatan atas nama satu ketidakserasian. Mampukah aku mengharungi gelodak rasa yang menghempaskan diri ini kebatu-batu tajam. Setiap hari yang dilalui terasa amat berat sekali. Saat "dia" melafazkan antara kita sudah tiada apa-apa, aku terawang-awang. Akalku memberontak mengatakan ini semua tidak adil padaku. Sedangkan mahu atau tidak yang aku perlu adalah menerimanya perkara itu seadanya. Cinta hanyalah satu pendustaan. Hatiku tertutup rapat untuk mengulangi penderitaan ini buat kali keseterusnya.
Aku membiarkan masa yang mengubati derita ini. Setiap hari bantal tidurku akan dipenuhi dengan air mata kekecewaan. Setiap hari aku memegang tel bimbit dan berharap "dia" menyesal akan kata-katanya. Setiap hari aku berharap masih ada ruang untuk aku dan dia. Walaupun teruk aku terluka namun cinta ini terlalu tegar untuknya. Adakah ini hanyalah mainan perasaan kerana enggan menerima kenyataan dia bukan lagi untukku atau ini adalah perasaan yang benar-benar ada untuknya?. Aku membiarkan hari-hari yang dilalui penuh kekosongan. Biarlah aku menderita dengan keputusannya.
Puas kawan-kawanku memujuk untuk meredakan rasa yang bertakung dijiwa. Mereka meniupkan kata-kata yang memberi semangat. Namun jiwa ini memberontak, kamu tidak berada ditempatku. Kamu tidak merasai apa yang aku rasakan. Aku yang menderita, aku yang berhadapan dengan kecewa bukan kamu. Sekadar berkata-kata semua orang mampu tapi yang melalui dan yang terluka adalah aku. Aku yang dikecewakan, aku yang ditanggalkan.
Suatu hari, aku memenjarakan diri di dalam bilik. Enggan makan dan enggan minum. Yang aku lakukan hanyalah mendengar lagu-lagu yang mendayu-dayu menzahirkan rasa cinta serta kekecewaan. Temanku yang satu ini, bukan seperti teman biasa. Dia lebih banyak berdiam diri namun dia kerap memegang tanganku memberi aku semangat tanpa mengungkapkan kata-kata enak di dengar. Dan hari itu, kesabarannya dengan sikapku benar-benar tercabar. Aku mengerti kasihnya dia padaku seperti seorang adik kepada kakaknya. Aku yang lemah ini terus menerus lemah dan dia tidak jemu-jemu berada disampingku.
Hari itu, dia mengetuk pintu bilikku dengan perlahan. Memujukku untuk makan. Namun aku mendiamkan diri. Sehingga tiba waktu malam, hatinya semakin panas. Kesabarannya lenyap. Dia menghentak kuat sehingga pintu bilikku bergegaran seumpama dihempas badai Tsunami. Akak, buka pintu ni sebelum Ana pecahkan. Aku berang dengan sikap kurang ajarnya itu. Fikiranku berserabut dan hilang kewarasan. Tenkingannya meruahkan lahar amarah dalam hatiku. Diam kau bodoh, jangan ganggu aku aku menjerit seperti kerasukan. Pintu itu digegar lagi. Mereka sepakat untuk menendang pintu dengan kudrat yang tidak seberapa. Hasil gabungan tiga tenaga pintu itu tersingkap jua.
Aku terkebil-kebil. Temanku yang satu ini hampir padaku. Satu tamparan dari tangan mulusnya itu singgah dipipi tanpa aku sempat mengelak. Di saat itu aku lihat air mata bertaburan. Dia memeluk erat tubuh kecilku yang kian kurus dimamah penderitaan. Aku..... seakan tersedar dari dunia khayalan yang dihayutkkan iblis dan syaitan. Namun, entah kenapa keegoaan aku memuncak. Aku memilih untuk berdiam. Akhinya teman yang lain mengalah, meninggalkan aku dengan teman yang satu ini. Dia memegang erat tanganku. Akak yang aku kasihi dengan seluruh hidupku. Tamparan itu tidak aku sengajakan. Aku kecewa denganmu kak... aku merayu agar engkau segera bangkit. Tinggalkan masa lalumu, mulakan hidup baru. Kak jangan menyeksa dirimu sebegini. Ingatlah pada Allah kak... tolonglah kak, kembalilah jiwa dan cintamu itu pada yang Maha Mengetahui iaitu Allah. Sedarlah kak, sedarlah....
Sehingga tiba suatu masa aku bangkit dari tidur di sepertiga malam. Entah kenapa perasaanku saat itu terlalu hiba. Aku menangis semahunya. Bukan meratap disebabkan satu perpisahan namun disebabkan datangnya penyesalan tentang dosa-dosa yang aku lakukan selama ini. Lantas kakiku dihayun ringan untuk berwudhuk. Disaat aku sujud padaNya, hilang segala kedukaan itu. Yang ku rasakan hanyalah cinta yang ku cari selama ini. Ya Allah, ampuni diriku kerana terleka. Akhirnya aku menemukan cinta yang sejati. Cinta kepada Ilahi.
Semenjak hari itu, aku menjaga perasaan cintaku hanya kepada yang benar-benar layak sahaja. Cinta suci bukan untuk dipermainkan. Cinta suci hanyalah kepada yang berhak untuk memiliki. Cinta suci hanya hadir disaat ia menjadi halal buatku. Biarlah aku dengan duniaku mengejar cinta Allah dan cinta suci yang sebaiknya.
Kini aku sedar, perpisahan yang dahulu aku tangisi rupanya adalah permulaan kepada satu cinta yang hakiki. Alhamdulillah. Yang paling gembira adalah temanku yang satu ini. Dialah yang memimpin aku kembali ke jalan yang lurus dan diredhoi. Ya Allah, aku bersyukur atas segala nikmat yang Engkau pinjamkan buatku. Putus cinta bukan beerti hidup ini sudah berakhir. Percayalah ada rahmat atas segalanya. Aku tersenyum mengenangkan segalanya itu. Aku tidak mahu terus tertipu dan hanyut seperti sampan yang tidak berpenghuni lagi. Cukuplah Allah sebagai sebaik-baik pelindung buatku. Cukuplah Allah buatku dalam mengharungi hidup ini. Semoga Allah temukan aku dengan jodoh yang baik buatku. Senyuman ini penuh ikhlas dari hatiku.
Karya Asli: Chenta.
28/12/11 (12.18pm)
No comments:
Post a Comment